harga sebuah kehilangan

Sebuah kisah untuk renungan kita bersama…..


Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah.Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta dihalakan ke dalam garaj.

“ Horeyyyy! Papa balikkk!! “

Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.

“ Tepi! Bahaya tau tak?” Jeritnya.

Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan diwajah mereka pudar.

“ Aimin, bawa adik ke belakang.” Arahnya pada anak yang sulung.

Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.

“ Papa penat, Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum mesti papa nak main bola dengan kita.” Pujuk Laila

Dia yang hanya mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.

“ Hah! Main air.Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!” sergahnya.Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya.

“ Asal saya balik, rumah mesti bersepah. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?”sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.

“ Anak-anak Pa, diaorang yang main tu.Takpe, nanti mama kemas.Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman.”Balas isterinya lembut.

“ Fail saya kat depan tu mana””

“ Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan.”

“Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi.” Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu. Suasana sepi kembali.

Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya.

“ Lailaaa…..” keluhnya .Akhirnya dia terlena di sofa.

“ Saya nak ke out station minggu depan.”
“ Lama?” Soal Laila.
“ Dalam seminggu.”
“ Cuti sekolah pun lama.Mama ikut boleh?”
“ Budak-budak?”
“ Ikut jugalah.”
“ Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diaorang buat kat sana. Tengok masa kat Legacy dulu.”
“ Masa tu Amirul kecil lagi.” Balas Laila.Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun berapa sangatlah harga pinggan itu malah pihak hotel pun tak minta ganti rugi.

“ Boleh ye pa! Lama sangat kita tak kemana-mana.”

“ Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung, Muktamad !!”

Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak melompat riang sebaik kereta berhenti di perkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.

“ Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar, baik abah ambil bagi kamu!”

“ Manalah saya ada masa…”
“ Takpe, kamu pegang dulu. Kalau tak suka, pulangkan balik!” Kata bapa mertuanya.
Kata-kata itu bergema difikirannya. Dia rasa tersindir. Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu?Bukan….Bukan dia tak suka, malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma….

“ Mizi, mari makan !” Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu…

“ Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah….” Pujuk ibunya.



“ Papa! Makan!” Jerit Aiman, anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya.
“ Tak boleh panggil Papa elok-elok? Kamu ingat Papa ni pekak ke?”

Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah balik semula ke dapur.

“ Awak masak apa?”
“ Mama masak sup tulang dengan sambal udang!” Jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.

“ Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah! Saya tak nak makan. Hilang selera!”

“ Papa nak kemana?” Soal isterinya perlahan.
“ Keluar!”
“ Mama dah masak pa…!”
“ Awak saja makan!”

“ Takpe…Aiman boleh habiskan…Cepatlah Ma…!”

Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan, sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan.

“ Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?” Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi.

“ Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan.” Jawab Laila.
“ Abang tak suka tengok papa marah-marah.” Adu Aimin.
“ Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan?”

Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang dan adiknya. Laila menjeling. Dihati kecilnya turut terguris. Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?

Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong…

“ Lailaaa…..” Serunya.
“ Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawa-bawalah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti.” Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.

“ Sunyi pula rumah ni mak……”
“ Lama-lama kau biasalah.” Pujuk ibunya lagi.

Airmatanya menitis laju. “ Kalau tak suka pulangkan!” Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya.Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.

“ Papa beli apa untuk Aiman? Soal Aiman sebaik dia pulang dari out stationnya.
“ Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu?”
“ Tak adalah..”
“ Ingat Papa ni cop duit ke?”

Aiman termanggu. Dia berlalu mancari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.

Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya.

“ Awak tak sihat ke?”
Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan

“ Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi.”Aimin mencelah diantara perbualan kedua ibu bapanya.Syamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah ke lantai. Aiman tercegat.

“ Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik! Kalau air tu tak tumpah tak sah!” Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.

Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman dipukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.

“ Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!”

Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.

“ Cukuplah pa…..Papa dah hukum dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan.” Ujar Laila perlahan.

Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak Kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana, kecah barang. Gila apa?” Omelnya kembali.

Syamizi meraut wajah. Bukan kepalang marahnya pada Aiman.Padanya anak itu tidak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.

“ Tak boleh ke kamu senyap? Dalam sehari ni bolah tak kamu diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni.”

Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang.Malang tak lama kemudian kedengaran tingkap kaca pecah.

“ Celaka betul!” Sumpahnya sambil menghempas akhbar ke meja.
“ Abang!”
“ Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam orang tak siuman!” Getusnya kasar.

Akhirnya tingkap yang pecah kembali ganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tidak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.

Syamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anaknya.


“ Pak Ngah, Eddie nak balik!” Syamizi terpana, dia mengangguk.
“ Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Carilah pengganti.”

Alangkah mudahnya kalau dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila.Laila tak ada yang kurang. Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka, Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walau dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A. “ Lailaaa….”

“ Papa nak kemana hensem-hensem gini?”

Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat.

“ Wangi-wangi lagi. Dating ye?”
“ Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff.” Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.

“ Ikut boleh?”
“ Dia tak ajak family, Staff only!” Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ini dia akan pergi ke jamuan itu dengan Helmi. Helmi akan menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang.

“ Dalam setahun, papa selalu ke jamuan ofis tapi tak pernah pun bawa kami. “
“ Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam. Lari sana sini, panjat itu ini.”
“ Papa pesanlah….”
“ Nantilah besar sikit.” Dalihnya
“ Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diaorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun.”
“ Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je!”

Laila terdiam. “ Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki.”
“ Saya pergi kejap aje. Lepas tu terus balik.”
“ Mama tanya sikit boleh?”
Dia mengganguk. “ Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?”

Mereka ditinggalkan di rumah. Di jamuan itu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Syamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.

“ Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik. “ Ujar Mr. Kwai, tuan rumah.

Syamizi sedikit mengakui kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran.Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang mengata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya.Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.

“ Kalau tak suka, pulangkan!” Kata-kata itu semakin keras di fikirannya.

Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri.Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian.

“ Kamu semua ni…Kalau macam ni daripada ada elok tak ada.Menyusahkan!”

Laila merenung dalam….Matanya berkaca dan anak-anak kesekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah.Syamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadap sarapannya. Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak di ambil. Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa…

” Kalau tak suka pulangkan!”

Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tidak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tidak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit dirumpun bunga.

Selaut rindu mula menghambat lubuk hatinya.Segunung kekesalan atas sikap kasarnya terhadap anak-anak menghantui dirinya.

Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita sudah kehilangannya.

Laila terus tidak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah. Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun zuriat untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi…….

Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah.Kemudian dia memeluk tubuh kaku anak-anaknya satu persatu….

Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan.

3 comments:

Tanpa Nama berkata...

hargailah diri anda..
ingatlah orang yang tersayang..=D

epol berkata...

ye betol..jgn sampai sumer dah takde baru kite naak hargai..well,cite nie mmg menyentuh ati gak la kan

Nurhidayah Abdul Bareed berkata...

sedihnyer...